Tuesday, January 31, 2012

CIRI-CIRI BLOG YANG BAIK

Ciri Pertama: Blog Tidak Berwarna Mencucuk Mata.
Kadangkala kita berfikir bahawa, blog yang berwarna warni itu cantik. Sebenarnya tidak semua warna akan mencantikkan blog.
Blog yang baik adalah yang senang mata memandang. Sebab itu, kebanyakan blog yang menarik, adalah yang blog yang tidak terlalu banyak menggunakan warna pada layout asasnya.
Warna yang terbaik hakikatnya adalah warna putih keseluruhan, atau hitam keseluruhan.
Bukan warna merah terang, kuning terang, hijau terang dan sebagainya yang menyakitkan dan memedihkan mata.

Ciri Kedua: Tulisan Mudah Dibaca
Kadangkala, ada yang menyangka, jika tulisannya bersimpul-simpul, maka lebih cantik. Sebenarnya tidak.
Apabila membaca, pembaca ingin memahami. Jadi untuk membantu pembaca itu ingin memahami apa yang kita sampaikan, kita perlu kurangkan stress mereka ketika membaca. Antara caranya adalah dengan memberikan tulisan yang mudah difahami oleh mereka.
Kerana itu, sebaik-baik jenis font adalah font calibri. Simple. Kemas. Menarik.
Kemudian janganlah kita warna-warnikan tulisan kita, kita letakkan warna latar pada tulisan kita. Itu semua memeningkan pembaca dan menyakitkan mata.
Kalau background hitam, letaklah warna putih. Kalau background putih, letaklah warna hitam. Begitu sahaja sudah cukup menarik sebenarnya.

Ciri Ketiga: Tidak Mempunyai Music Box dan gambar-gambar yang tidak penting.
Hari ini seperti sudah menjadi trend untuk ramai blogger meletakkan ‘music box’ pada blog mereka. Kononnya sebagai halwa telinga. Ada yang letak lagu-lagu, ada yang letak nasyid, ada juga yang letak Al-Quran.
Saya yakin, ramai sahaja yang berniat baik apabila meletakkan semua itu. Tetapi sebenarnya, antara ciri-ciri blog yang baik pada saya adalah yang tidak mempunyai langsung kesemua itu. Pendek kata, tidak mempunyai Music Box. Mengapa?
Sebab pertama: Kadar kelajuan internet setiap orang tidak sama. Jadi, bagi yang berkelajuan internet perlahan, music box anda akan kedengaran tersekat-sekat. Ini menganggu ketenangan pembaca.
Sebab kedua: Mungkin pembaca tidak meminati lagu yang anda mainkan itu. Lantas dia tidak suka melawati blog anda hanya kerana apa yang anda mainkan itu tidak kena dengan minatnya.
Sebab ketiga: Ada pembaca memang suka membaca dalam keadaan senyap tanpa apa-apa bunyi. Jadi bila blog anda ‘berbunyi’, mereka akan rasa rimas dan meluat.
Maka pilihan yang terbaik adalah, tidak perlu ada langsung semua itu.
Kemudian, blog yang baik tidak mempunyai gambar-gambar yang tidak penting. Kalau kita pergi ke kebanyakan blog-blog, kita akan perhatikan ramai yang suka letak pelbagai gambar. Gambar artis ada, gambar ulama’ ada, gambar keluarga ada, gambar logo NGO yang dia sertai pun ada.
Baik. Untuk saya, semua itu tidak perlu. Serabut.
Gambar artis – Ada pembaca anda mungkin suka, ada yang mungkin tidak suka. Ada pula yang hanya akan melihat anda sebagai blogger yang tidak matang apabila menggantungkan gambar-gambar artis pada blog anda.
Gambar ulama’ – Ada pembaca mungkin fanatik dengan ulama’-ulama’ tertentu dan tidak bersetuju dengan ulama’-ulama’ kesukaan anda. Lantas tidak melawati blog anda hanya kerana melihat anda menggantung gambar ulama’ bukan kegemaran mereka. Ada pula pembaca, lihat sahaja gambar-gambar ulama’ yang bertimbun pada blog anda, terus rasa inferior dan merasakan blog itu hanya untuk orang-orang agama sahaja.
Gambar keluarga – Ada orang rasa, itu terlalu personel. Buat apa tayang-tayang di sidebar. Mereka bukan hendak tengok pun. Gambar itu hanya bermakna untuk anda sahaja. Melainkan ayah dan mak anda, atau ahli keluarga anda itu berblog juga dan menjadi tempat rujukan mereka pula.
Gambar NGO yang disertai – Pun tidak perlu sebenarnya. Ini hanya akan mengurangkan kumpulan pembaca anda. Dan blog anda tidak akan kelihatan ‘umum’, tetapi lebih kelihatan hanya untuk yang ‘sekepala’ dengan anda.
Jadi, untuk menjadi sebuah blog yang baik, website yang baik, kita tidak perlu letak apa yang tidak perlu. Yang tidak perlu ini hanya akan menambah keserabutan sahaja.

Ciri Keempat: Kemas. Menarik. Teratur. Mudah.
Lagi, blog yang terbaik adalah blog yang kemas, teratur, dan mudah untuk pelawat berurusan dengannya.
Post-postnya tidak lewah ke bawah. Ada ‘read more’, dan tidak terlalu banyak post ditunjukkan pada HOME. Mungkin kadar yang sesuai adalah sekitar tiga ke lima post sahaja.
Sidebarnya teratur dan mudah. Ada gambar penulis sebaik-baiknya, ada diskripsi ringkas berkenaan profil tuan punya blog contohnya, ada link-link rakan blogger yang lain, ada shoutbox untuk orang berziarah meninggalkan jejak, dan di sidebar ada update post terkini, atau komen terkini. Semua itu disusun dengan baik. Pelawat pula mudah berurusan dengannya, tidak pening, tidak ‘tersesat’ di dalam blog itu dan sebagainya. Mudah untuk mereka bergalih dari satu post ke satu post contohnya. Mudah bagi mereka untuk pulang ke HOME contohnya. Tidak perlu hingga keluar beberapa tetingkap hanya di blog anda sahaja.
Blog yang baik juga mestilah menarik.
Post-postnya tidak berada di ruangan yang sempit. Post-postnya mempunyai gambar entri yang menarik, cantik. Blog itu mempunyai ‘header’ yang menarik dengan bannernya yang cantik. Melambangkan identiti blog/website tersebut. Bukan semata-mata ‘pakai letak’ sahaja atau ‘sekadar ada nama di situ’ semata-mata.
Rupa blog anda, melambangkan pentingnya penyampaian anda sebenarnya.

Statistik Terkini LangitIlahi.Com (Januari – November 2011).
Penutup: Ibarat Peribadi Yang Baik, menarik orang ke arahnya. Blog yang baik juga…
Ibarat peribadi yang baik, kemas, bersih, yang semestinya menyenangkan orang yang memandang, menarik orang untuk mendekat dan merapat, seperti itulah blog yang baik berperanan.
Blog Yang Baik, akan menarik orang. Akan membuatkan orang suka untuk berada di dalam blog itu dan membaca artikel-artikelnya.
Apatah lagi seorang blogger=da’ie.
Blognya mestilah yang paling kemas, teratur. Kerana dia sedang membawa kalam Ilahi.
Apakah seorang da’ie patut kelihatan tidak teratur dan berserabut?
Mari sama-sama kita lihat semula blog kita.
Bergerak untuk mempraktiskan ciri-ciri blog yang terbaik ini.

No comments:

Post a Comment